Sabtu, 21 Julai 2012

LEGASI AKOK

Bermula daripada seorang wanita biasa yang bertugas menyediakan makanan di istana, wanita cekal ini memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan di rumah kayu didiami di Jalan Merbau.


Ketika akok menjadi kuih eksklusif yang hanya disantap golongan bangsawan, Nik Fatimah Nik Leh lincah memenuhi tempahan pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berkelas atasan.

Beliau bijak merencanakan masa depan ekonomi keluarga dengan memilih untuk memulakan perniagaan kuih tradisi negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ iaitu ‘akok’.

Kuih akok sememangnya digemari rakyat Kelantan kerana rasanya yang manis. Pada masa kini, keenakan akok dapat dirasai segenap lapisan masyarakat berbanding zaman dahulu yang hanya dimakan golongan berada.

Permintaan yang tinggi terutamanya pada bulan Ramadan membolehkan perniagaan Nik Fatimah semakin berkembang maju walaupun beliau sudah meninggal dunia.

Menantu keluarga berkenaan, Mohd Sabri Mat Zin, 40, berkata, legasi perniagaan keluarga isterinya itu diteruskan generasi kedua, tiga dan lima keluarga tersebut.

“Kami sekeluarga bersama-sama memastikan usaha gigih moyang terus membuahkan hasil. Tambahan pula, kami juga memikul tanggungjawab untuk memelihara kewujudan kuih kebanggaan rakyat Kelantan ini,” katanya.

Menurutnya, seawal jam 9 pagi, pelanggan sudah pun bersiap sedia beratur di hadapan premis perniagaannya untuk mendapatkan kuih akok kegemaran mereka.

“Pada waktu-waktu biasa, kami masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan yang memilih akok sebagai juadah mereka. Tetapi, ketika bulan Ramadan, 5,000 akok yang dihasilkan sehari pun belum tentu dapat menampung permintaan yang melambung.

“Kadang-kala ada yang balik dalam keadaan kecewa kerana tidak dapat membeli akok,” ujar Mohd Sabri yang menggunakan kepakaran 13 pekerja untuk penghasilan lebih 5,000 akok dalam masa sehari.

Mohd Sabri berkata Akok yang dihasilkan keluarga ini berbeza dari segi bentuknya yang bulat berbanding kebiasaannya berbentuk bujur. “Bentuk bulat ini adalah trade mark akok yang dihasilkan oleh kami, bagaimanapun bentuk bukanlah penentu keenakan kuih ini

“Bahan-bahan untuk menghasilkan kuih akok nampak mudah, tetapi, jika aduan santannya tidak seimbang, akok tidak akan lembut atau sedap

Bancuhan santan yang betul memainkan peranan penting,” jelas Mohd Sabri.

Tambahnya, selain santan yang dibancuh sempurna, cara memasak tradisional menggunakan dapur arang juga akan menghasilkan aroma yang menyelerakan.

“Pun begitu, cara memasak ini menuntut kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi apabila sabut kelapa sukar untuk diperoleh.

Oleh sebab kekangan itu, kami terpaksa tukar cara memasaknya dengan menggunakan ketuhar.

“Di samping itu kami turut menggunakan khidmat beberapa pekerja yang sudah berusia serta mempunyai banyak pengetahuan dan kemahiran dalam menghasilkan akok yang lazat,” ujarnya lagi.

Selain empat jenis akok, manisan, gula, pandan dan jagung, premis ini juga turut menawarkan kuih tradisi Kelantan yang lain termasuk, jala mas, tahi itik, buah tanjung dan mas jeput.

Aneka Produk Lain Yang Kami Pasarkan