Menjalankan perniagaan berasaskan produk makanan adalah sesuatu yang menguntungkan. Apatah lagi perniagaan makanan merupakan satu industri utama di dalam IKS. Berikut saya catatkan antara langkah-langkah yang telah digunapakai oleh pelanggan saya dalam memajukan perniagaan kuih akok mereka.
1. Anda nak kaya? Jika anda bersemangat begitu dan sering berkata dan berangan-angan sebegitu, anda sebenarnya sudah berada di landasan yang betul. Cuma, anda harus sedar, anda SEBENARNYA hanya berniat untuk nak kaya, tetapi bukan MENJADI KAYA! Anda sepatutnya menyemai kata-kata saya BERJAYA dan KAYA! Ingat, apa yang kita ucapkan merupakan satu doa. Dan Allah memberikan apa yang kita fikirkan dan apa yang kita mahukan.
2. Jangan hanya berangan-angan untuk memulakan perniagaan ini. Tetapi anda harus lakukannya. Kerana usahawan yang berjaya adalah usahawan yang melakukan sesuatu dan bukan sekadar berangan-angan sahaja.
3. Luaskan daya kreativiti anda.
Jika anda sudah memiliki dapur akok. Jangan berfikiran di dalam kotak sahaja. Gunakan daya kreativiti anda untuk mencuba pelbagai resepi baru menggunakan dapur akok, bagi menghasilkan kuih akok yang ekslusif. Sebagai contoh ada seorang pelanggan kami, iaitu Pakcik Osman dari Kemaman yang mencipta resepi baru yang menggunakan bahan-bahan seperti makaroni dan sambal ikan bilis di dalam resepi beliau. Jadi, jangan terhad kepada kuih akok sahaja. Anda harus berani mencuba resepi yang baru.
4. Perluaskan lokasi perniagaan anda.
Seorang pelanggan kami pula mempunyai idea yang berbeza. Beliau seringkali menambah bilangan dapur akok 2 pasang. Strategi beliau adalah, dengan mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk perniagaan akok. Kemudian beliau hanya mengambil pekerja untuk menggunakan dapur akok di setiap lokasi. Tugas beliau hanyalah menyediakan adunan di dalam tong sahaja untuk dihantar kepada pekerja beliau. Kelebihan startegi beliau adalah, apabila tiba bulan Ramadhan, beliau sedaya upaya cuba mendapatkan seberapa banyak tapak perniagaan di bazar Ramadhan yang berbeza. Oleh itu, setiap dapur akok yang beliau miliki akan membawa keuntungan kepada beliau.
5. Jangan hanya menunggu pelanggan datang.
Kita sering kali melihat kebanyakan peniaga akok atau sebarang kuih yang lain kebiasaanya hanya menunggu pelanggan datang ke kedai. Ini perkara yang biasa kita lihat. Namun ada seorang pelanggan saya yang setiap kali hampir tiba bulan Ramadhan, beliau akan berjumpa dengan pegawai hotel yang bertugas di bahagian FnV ( Food and Beverage ). Dan beliau akan menawarkan kuih akok untuk pihak hotel sediakan untuk buffet berbuka puasa. Ini adalah satu langkah yang bijak. Seandainya, satu hotel mahu membeli 2000 biji akok setiap hari, cuba bayangkan untuk sebulan berpuasa, dan bayangkan lagi jika anda cuma mendapat 5 buah hotel. Kalau 10 buah hotel?
6. Akok vs Pizza ?
Baru-baru ini, saya dikunjungi seorang pelanggan lama. Alhamdulillah, nampak gayanya, perniagaan akok beliau bertambah maju. Namun yang menarik perhatian saya ialah, ideanya untuk membuat penghantaran kuih akok sebagaimana yang dilakukan oleh perniagaan pizza. Idea ini bagus, kerana ianya dapat meluaskan perniagaan/pemasaran kuih akok anda. Anda boleh menghantarnya dari rumah ke rumah atau ke pejabat-pejabat. Yang pasti, jika anda berminat untuk melakukan idea ini, anda haruslah membuat kajian, berapakah harga pizza yang dihantar, dan berapa pula pesanan minimum yang perlu pelanggan anda pesan untuk akok anda.
7. Jenama Akok
Apa ada pada nama ? Itu yang sering kita dengar. Namun tahukah anda, setiap yang ada di dunia ini mempunyai nama? Begitu lah pentingnya nama! Jika kita sebut ubat gigi, jenama apakah yang terbayang di fikiran anda? Jika kita sebut minuman tongkat ali, jenama apa pula yang pertama sekali muncul di fikiran anda?
Begitu juga sepatutnya yang anda lakukan pada akok anda. Pilih satu jenama yang paling sesuai dengan akok anda. Dan anda harus promosikan jenama akok anda tersebut agar ianya melekat di fikiran pelanggan anda.
Jika anda minat bola, tentu anda ingat perkataan ini, 'Ajis nasi lemak...' ! Mengapa tidak anda jadikan jenama akok anda dipromosikan di mana-mana tempat/majlis yang bersesuaian? Semuanya terletak pada kreativiti anda sahaja.
8. Banyakan Bersedekah!
Sebagai umat Islam, kita harus percaya kepada amalan bersedekah. Ganjarannya 700 kali ganda. Sebagai contoh, jika anda bersedekah RM1, anda akan dibalas RM700.
Saya mempunyai seorang pelanggan yang mengamalkan sedekah ini. Kisah ini pun bukan diceritakan oleh yang empunya diri, tetapi oleh rakan rapatnya. Apa yang dilakukan oleh pelanggan saya ini, setiap pagi Jumaat, beliau akan membakar antara 200 - 300 biji akok dan akan disedekahkan kepada masjid sewaktu solat Jumaat. Selain dari niat bersedekah, secara tidak langsung, beliau mempromosikan kuih akok beliau. Secara logiknya jika beliau bersedekah 300 biji, jika didarab dengan 700, maka beliau akan mendapat 210,000 biji ( yang terjual ) sebagai ganjaran. Mungkin mustahil jika beliau mendapat tempahan akok sebanyak 210,000 sekali gus, tetapi kita harus percaya, ganjarannya pasti ada! Mungkin tempahannya akan bertambah setiap bulan atau ada tempahan untuk majlis atau acara-acara tertentu. Yang penting kita harus yakin, Allah mempunyai pelbagai cara untuk membalasnya!