Isnin, 3 Mac 2014

JUAL 700 BIJI AKOK SEHARI



KEMAMAN – “Dengan duit jual kuihlah makcik sekolahkan 12 anak,” kata penjual kuih akok, Halimah Ibrahim, 57, yang mampu menjual 700 biji kuih tradisional itu setiap hari di gerainya yang terletak di jalan utama Kampung Ibok, dekat sini.


Mula berniaga sejak 16 tahun lalu, akok yang dijualnya bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan pembeli dari Johor dan serata negeri juga tidak melepaskan peluang untuk membeli kuih berkenaan sekiranya datang ke Kemaman.

Selain akok, Halimah juga mampu menjual kira-kira 700 biji kuih bakar setiap hari yang mana pembuatan kedua-dua kuih itu masih menggunakan cara lama iaitu dibakar dengan sabut kelapa.

Dengan keistimewaan cara pembuatan itu juga akok dan kuih bakar yang dijualnya sentiasa habis setiap hari.

Menurut Halimah, dia mengekalkan cara pembuatan kuih tradisi itu untuk memastikan ia tidak luput dek zaman biarpun kini pelbagai alat atau mesin moden pembuatan kuih banyak dijual di pasaran.

“Alhamdulillah, akok serta kuih bakar yang makcik jual sentiasa habis dan makcik mampu memperoleh pendapatan harian antara RM350 hingga RM400,” katanya.

Lebih bermakna, wang hasil titik peluh membuat kuih yang dibelanjakan untuk membiayai persekolahan anak-anaknya itu tidak sia-sia kerana kesemuanya telah dewasa dan berjaya dalam hidup dengan ada yang bekerja sebagai doktor, jururawat, guru, polis dan ustaz.

“Wang dari jual kuih makcik buat tanggung anak-anak sekolah, jadi sebahagian pendapatan bulanan suami dapat disimpan hingga anak-anak juga dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya yang tinggal di Kampung Tengah Ibok.

Kata Halimah, sebanyak 200 biji telur dan 20 kilogram (kg) gula digunakan sehari untuk menyediakan 700 biji akok, manakala untuk menghasilkan kuih bakar sebanyak 7kg tepung gandum diadunnya setiap hari.

Wanita gigih ini turut menjual beberapa jenis kuih lagi yang kesemuanya adalah hasil air tangannya, antaranya lompat tikam, tepung bunga dan onde-onde.

Aneka Produk Lain Yang Kami Pasarkan