Wan Ramlah Wan Yakob |
KUALA TERENGGANU - Kuih jala mas, mas jemput, tok aji serban, urat jati, taming sari, rokok arab telur, buah tanjung, koleh kacang, asam gumpal dan belimbing. Itu adalah sebahagian daripada kuih tradisional Melayu yang tentunya enak lagi menyelerakan.
Namun seiring dengan perkembangan semasa, kuih tradisional ini dilihat kian sukar diperoleh, kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran untuk membuatnya.
Bagi Wan Ramlah Wan Yakob, 68, yang menetap di Gong Kapas, dia tidak jemu untuk membuat aneka jenis kuih tradisional itu, demi cintanya pada bidang masakan dan mempertahankan resipi turun temurun keluarganya.
Mula menghasilkan kuih-muih bermula pada tahun 1990 secara kecil-kecilan ketika masih mengajar dengan Kemas, Wan Ramlah kini menumpukan kepada bisnes kuih tradisional secara serius.
“Saya tidak belajar membuat kuih daripada mana-mana, cuma setiap kali membantu ibu, dia akan memberikan tip untuk membuat kuih dengan betul dan kuantiti bahan yang diperlukan.
"Dari situ, saya belajar resipi keluarga," katanya.
Pada mulanya, Wan Ramlah hanya buat kuih untuk penuhi permintaan rakan.
Dari situ, dia mula menerima tempahan secara kecil-kecilan.
“Tetapi itupun saya tak menang tangan kerana tempahan terlalu banyak, apatah lagi sepanjang Ramadan dan Syawal ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Lorong Surau, Gong Kapas, di sini.
Jadi pilihan golongan istana
Menurut Wan Ramlah, ibunya iaitu Wan Teh Maimunah Awang yang berasal dari Pulau Duyong adalah seorang pembuat kuih tradisional dan kuih istimewanya adalah kuih jala mas.
Keenakan kuih jala mas yang dibuat ibunya memang tidak dapat dipertikaikan lagi sehingga sering mendapat tempahan daripada istana, sehingga kini.
“Semasa zaman datuk dan nenek saya lagi, mereka sering mendapat tempahan daripada istana. Sehingga sekarang, memang kita hantar kalau diminta. Kuih muih lain ada juga yang ditempah, tetapi yang paling istimewa adalah kuih jala mas,” katanya.
Menariknya, golongan kenamaan yang pernah merasai sentuhan masakan Wan Ramlah, pasti akan mencarinya jika ingin makan sesuatu yang istimewa, hasil air tangannya.
Menurutnya, bekas Menteri Besar Terengganu yang terdahulu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad misalnya, akan menghubunginya jika ingin menempah kuih dan makanan seperti ayam golek, ayam kerutuk dan aneka jenis nasi istimewa.
Anak berhenti kerja
Dia yang mampu membuat kira-kira 40 jenis kuih tradisional, turut memperluaskan bisnes masakan kepada aneka jenis nasi dan lauk pauk, termasuk lauk pengantin.
Jelas Wan Ramlah, daripada 10 orang anaknya, anak ketujuhnya iaitu Ahmad Faisal Mohd Nasir, 30, sangat berminat untuk mendalami ilmu masakan dan kini berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di Kajang sejak setahun yang lalu bagi membantunya.
Ahmad Faisal ketika ditemui berkata, banyak faktor yang mendorongnya berhenti bekerja dan salah satunya adalah bagi mengembangkan bisnes ibu bapanya itu.
“Ibu dan ayah saya, Mohd Nasir Ibrahim, 75, sudah berusia dan inilah masanya saya bantu mereka. Tempahan yang mereka terima pula terlalu banyak.
"Kuih akok berlauk misalnya, setiap hari mereka hasilkan 500 ke 600 biji. Ada kalanya menjangkau 1,000 biji sehari," katanya.
Selain menguruskan tempahan secara online, Ahmad Faisal turut menghantar kuih jala mas di pasar raya Sabasun sejak awal tahun ini.
“Tempahan memang banyak tetapi kami perlu buat ikut kemampuan. Kekangan kami ialah mesin bagi membantu kami memudahkan kerja. Cuma kita harap ada saluran untuk membantu kita dapatkan bantuan mesin.
“Secara tidak langsung, ia akan dapat memenuhi permintaan ramai dan mempertahankan kuih tradisional Melayu ini kerana saya lihat akan potensinya yang besar jika dibuat secara bersungguh-sungguh,” katanya.